Wednesday, November 04, 2009

Hidup Itu InsyaAllah

Kadang-kadang saya fikir nyawa manusia bagaikan terlalu murah di sini, beratus-ratus orang mati begitu sahaja akibat pengeboman berani mati. Tidak sampai seminggu selepas sekurang-kurangnya 117 orang mati di Peshawar, 35 orang pula mati di Rawalpindi semalam. Dan semalam juga pada sebelah petangnya, berlaku satu lagi letupan bom di Lahore yang mengakibatkan 25 orang cedera termasuk anggota polis dan keselamatan. Hampir setiap hari ada sahaja berita tentang bom membuatkan ia tidak begitu mengejut atau mengujakan lagi. Melalui media-media di sini, diperhatikan bahawa pihak berwajib tidak mengambil langkah yang serius bagi menghalang kematian rakyat yang tidak bersalah. Malah beberapa ketika saya melihat seolah-olah mereka sengaja menjolok-jolok sarang tebuan.

Tetapi kami tetap meneruskan hidup seperti biasa. Kami keluar rumah seperti biasa, ke Pasar Rana, bazar Jinnah Super F7, Supermarket F6, Bazar G10 dan sebagainya. Kami harus membeli baju dan jaket untuk menghadapi musim sejuk, membeli duvet tebal, membeli sayur dan ikan dan lain-lain. Sekarang suhu di Islamabad menjadi semakin sejuk, purata lebih kurang 15 darjah dan ia akan menurun sehingga paras negatif apabila tiba kemuncak musim sejuk Disember dan Januari nanti. Ketakutan dan kebimbangan sudah tidak perlu difikirkan jika ingin hidup seperti orang normal di negara yang bergolak seperti ini. Hidup dalam ketakutan adalah bagaikan tidak hidup, keberterusan hidup memerlukan sedikit keberanian yang bijak.

Di kedai ikan Fresh Seafood Pasar Rana yang menjual ikan tidak segar, saya melihat penjualnya sibuk menonton berita di TV dan saya menegurnya, "ada bom lagi hari ini? di mana pula?"
Dia tergelak besar mendengar soalan saya. "Belum ada lagi", dia menjawab.
Dan selepas itu kami ketawa bersama-sama.


Dan saya mula menyedari Mawar juga sudah tidak ketakutan seperti kami mula-mula tiba di Islamabad 5 bulan yang lepas. Malah saya rasa jiran saya lebih takut dengan keadaan di negaranya sendiri, Ahad lepas dia menghalang anaknya keluar ke Itwar Bazar (bazar Ahad) dengan kami walaupun anaknya telah berjanji. Petang tadi Mawar mengajak saya keluar untuk menghirup sup ayam jagung panas di Jinnah Super. Dan dengan selamba kami beserta Embun keluar selepas Maghrib tadi, walaupun terdetik juga di hati saya bagaimana jika kami semua berada di tempat salah pada waktu yang salah. Dalam kenderaan sebelum sampai saya cuma berdoa dalam hati dan membaca ayat-ayat perlindungan, semoga Tuhan sahaja yang memberi kami perlindungan. Dan sesungguhnya jika sudah ajal, saya harus mati di mana-mana sahaja dengan sebab apa-apa sahaja.

Thursday, October 29, 2009

Lagu dan Kisah

Pagi tadi sewaktu dalam perjalanan dari rumah (di Islamabad) ke tempat kerja, saya mendengar CD di dalam kenderaan itu, lagu "Capri" yang lunak sekali dilagukan oleh Colbie Caillat menerjah masuk dalam corong telinga, dan menerawang sehingga entah ke mana-mana. Tiba-tiba sahaja pemandu saya menoleh ke arah muka saya dengan pelik. Rupanya saya tersenyum dan sengih sendirian. Lirik lagu Capri menceritakan tentang seorang bayi comel yang berada dalam perut ibunya.

Lagu indah yang bersahaja itu selalu mengingatkan saya pada peristiwa lepas, sewaktu di Kuala Terengganu ketika mula-mula hidup bersama Mawar dan Embun yang masih di dalam kandungan. Kami selalu mendengar lagu itu dalam kereta sewaktu kami bersiar-siar di sekitar Terengganu, ke pantai Batu Buruk, balik ke Setiu dan sebagainya. Dan sebenarnya ketika kami mula mendengar lagu Capri, Embun belum pun berada dalam kandungan Mawar. Lantunan suara Colbie yang sangat sedap dan lembut itu mengembalikan ingatan kepada memori lepas serta memberikan rasa yang menuntun jiwa, sangat indah, sukar dimengertikan dengan kata-kata atau tulisan. Ia bagaikan memberikan satu rasa kelegaan yang hampir kepada khayal.

Penulis bukanlah seseorang yang terlalu taksub dan mahir dengan lagu-lagu atau artis, tetapi terdapat beberapa lagu yang digemari. Kecenderungan saya lebih kepada lagu bergenre country, klasik dan lagu berentak perlahan yang biasanya dinyanyikan secara bersahaja. Saya menyukai Colbie Caillat, Norah Jones, Jason Mraz, Julio Iglesias, Robbie William, Michael Buble, Coldplay, MLTR, selain dari Siti Nurhaliza, Ramli Sarip, M. Nasir, Sheila Majid dan Jamal Abdillah. Dan juga sangat menghargai suara yang mementingkan lontaran vokal seperti Josh Groban, Andrea Bocelli dan Il Divo. Juga penyanyi Indonesia seperti Sheila On 7, Peterpan dan Rossa. Lagu Sephia dan You Took My Heart Away (MLTR) misalnya mengingatkan saya pada memori di Pusat Matrikulasi UIA, dan mendengar lagu Dealova (Once) dan Ruang Rindu (Letto) akan mengingatkan saya pada saat-saat sebelum saya menikahi Mawar.

Semoga Tuhan mengampuni saya pada setiap kali saya mendengar lagu lalu saya khayal dan lalai dari mengingatiNya. Dan sebab itu juga saya tidak kisah jika orang berkata sesetengah muzik atau konsert itu haram. Ia bukanlah perkara utama atau asas dalam kehidupan, manusia masih boleh hidup seperti biasa tanpa muzik atau maksiat.


Tuesday, October 27, 2009

Masa Yang Terlalu Sedikit

Tampaknya Kuala Lumpur masih sama, laju mengorak langkah meninggalkan jauh Islamabad terutama dari segi infrastruktur dan ketamadunan masyarakatnya. Kami tidak lupa ke Taman Ilmu dan Budi di Gombak meraikan kejayaan Mawar menggenggam segulung ijazah yang sebenarnya tidak digulung. Lebih manis si comel Embun turut mengiringi lalu lengkaplah impian Mawar ingin memakaikan topi konvonya kepada anak perempuannya. Sekalung tahniah!

Saya lihat UIAM semakin cantik bangunan dan lanskapnya, cuma saya berharap agar keadaan dalam kampus itu lebih islamik, terutama dari segi pakaian serta cara pergaulan sebahagian daripada mereka. Saya amat gembira melawat UIAM, suatu tempat kebanggaan saya yang akan dikenang sampai bila-bila. Jika saya tidak menyambung pelajaran di peringkat sarjana di luar negara, saya teringin untuk membuatnya di taman itu lagi. Di Islamabad juga terdapat sebuah UIA yang mana telah pun dibom oleh dua orang pengebom berani mati pada minggu lepas menyebabkan lapan orang kesemuanya meninggal dunia. Saya belum pernah melawat ke kampus UIA di Islamabad dan sekarang nampaknya semakin sukarlah untuk ke situ.


Masa kepulangan ke Terengganu banyak saya habiskan dengan menikmati ketenangan serta alam semulajadi yang memayungi warisannya. Pantai berpasir putih di kampung saya itu berkali-kali saya kunjungi, dan masih tidak puas-puas juga. Saya berenang di pantai itu yang suatu masa dahulu menjadi tempat mainan kami, dan saya juga heret Mawar serta Embun untuk bermandian bersama-sama! Kami juga banyak 'berhabis' di pasar besar kedai payang membeli batik-batik sebagai bekalan bagi memperkenalkan kepada orang sini bahawa itulah pakaian kebangsaan kami, walaupun kedangkalan Indonesia sibuk meruncing buluh memarahi kami kerana mencuri batik dan tariannya. Di Terengganu hujan turun hampir setiap petang mungkin menandakan musim tengkujuh akan hadir tidak lama lagi.

Kepulangan yang pernah ditunggu-tunggu itu telah pun berakhir pada Jumaat lepas, 23 Oktober. Tengah hari dari Kuala Lumpur dan seterusnya kami singgah sebentar di Bangkok sebelum meneruskan perjalanan ke Islamabad. Malamnya udara sejuk musim luruh menyambut kami sewaktu menjejak kaki ke Lapangan Terbang Benazir Bhutto yang selalu mengecewakan itu, atas beberapa sebab saya mula membenci lapangan terbang itu, sama seperti saya membenci sikap orang-orang Pakistan secara keseluruhannya. Dan kali ini saya datang ke Pakistan buat kali keduanya, dengan minda dan rasa yang lebih bersedia dan terbuka. Sekarang saya sememangnya lebih banyak berserah dan pasrah.

Wednesday, October 14, 2009

Sesampai di Malaysia

Sekarang saya sedang bernafas di udara yang lebih lembap dan berat. Sudah seminggu lebih saya kembali ke sini dan ia memberikan satu rasa yang sangat membahagiakan. Agak klise, tetapi saya perlu menyatakan bahawa sekarang saya memang lebih menghargai tanah air sendiri terutama setelah menghabiskan lebih banyak masa di bumi Islamabad yang jauh berbeza dari Kuala Lumpur mahupun Kuala Terengganu. Saya juga telah benar-benar faham kenapa mereka menyebut hujan batu di negeri sendiri lebih baik dari hujan emas di negari orang. Saya telah pun merasainya sendiri. Buat pertama kalinya juga saya telah berpuasa dan menyambut 1 Syawal di perantauan, tanpa emosi yang berlebih-lebihan.

Sejak minggu lepas media-media di Malaysia tidak putus-putus menyiarkan berita tentang pengeboman dan keganasan yang belaku di Pakistan. Saya tidak kisah sangat jika ia berlaku di Peshawar kerana ia agak jauh dari islamabad, tetapi agak menarik perhatian apabila ia menyebut satu kejadian pengeboman berlaku di sebuah pejabat PBB di Islamabad. Saya tahu tempat itu, selalu melaluinya dan ia tidak jauh dari kediaman saya di Sektor E7 Islamabad. Dan beberapa hari selepas itu kejadian serangan berani mati berlaku lagi di Rawalpindi, tempat yang selalu saya kunjungi untuk membeli-belah. Berpuluh-puluh orang meninggal dunia, dengan begitu saja. Nampaknya trend serangan di Pakistan sekatan sudah mulai memasuki kota yang saya sedang duduki. Ia agak membimbangkan kami, walaupun kami masih positif bahawa keadaan di sana tidaklah seteruk yang digambarkan oleh media.

Tadi rakan Malaysia di sana menghantar SMS, "keadaan masih dalam kawalan, cuma ada kejadian tembak menembak di kem askar di Rawalpindi". Seorang rakan yang lain membalas pertanyaan di ruang bual Facebook, "kedaan Islamabad sekarang agak tegang sedikit, tapi selamba saja keluar membeli-belah". Memang jauh perbezaan antara kenyataan media Malaysia dengan rakan-rakan yang tinggal di Islamabad.

Di sini di tanah air sendiri keadaan jauh berbeza. Tiada lagi sekatan-sekatan keselamatan di jalan-jalan raya, tiada lagi pemeriksaan imbasan di badan sewaktu hendak memasuki kedai dan restoran, tiada lagi hon yang menyakitkan hati di jalan raya. Kami bebas ke sana ke mari dan merasai pelbagai jenis makanan dengan aman tanpa perlu berteka-teki selepas ini hotel atau pasar mana yang akan dibom. Masa bagaikan terlalu pantas dan saya perlu membuat terlalu banyak benda sebelum kembali menghadap rutin di tanah berdarah Pakistan. Tiada apa yang perlu ditakutkan sangat, sebaliknya hidup yang memang perlu diteruskan.

Thursday, October 01, 2009

Memanjat Margalla di Pagi Ramadhan


Melalui seorang rakan senegara yang juga bekerja di sini saya diperkenalkan dengan satu hobi baru yang sangat menarik. Memanjat bukit Margallah yang terletak di pinggir bandar Islamabad adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan, terutama apabila sudah berada hampir di puncak sambil di kelilingi dengan pemandangan kawasan perbukitan yang sangat indah. Bandar Islamabad yang tersusun serta Tasik Rawal yang luas boleh dilihat dengan jelas dari atas puncak bukit Margalla. Terasa diri sangat hebat dan bagaikan tidak percaya bahawa kami yang berpuasa boleh melakukan perkara sebegitu.


Pertama kali memanjatnya di pagi bulan Ramadhan yang lepas dan saya cuma berhenti di salah satu puncak yang cuma memakan masa lebih kurang sejam dari kaki bukit. Tetapi kali kedua ke sana, iaitu dua hari sebelum hari raya, kami telah memberanikan diri untuk mendaki sehingga ke puncak Pir Sohawa. Treknya agak mudah dan tidak membahayakan, walaupun ia agak curam dan sangat memenatkan. Sesekali kami terserempak dengan pendaki-pendaki lain yang terdiri daripada orang tempatan dan juga rakyat asing. Perjalanan dari kaki bukit hingga ke Pir Sohawa akan mengambil masa lebih kurang dua jam.


Apabila hampir sampai di Pir Sohawa, kami akan melewati satu kem askar yang berkawal di situ. Selepas itu kami pasti akan berjumpa dengan sekumpulan kanak-kanak yang menjual bunga unik yang dibuat mereka sendiri. Pertama kali berjumpa mereka saya berasa sangat teruja dan cuba berbual-bual dan bergambar dengan mereka. Saya tidak membeli bunga mereka, tetapi memberikan Rs10 setiap seorang. Selepas mendapat duit mereka tidak pedulikan kami lagi. Pada kali kedua saya berjumpa mereka saya membeli dua kuntum bunga yang dianyam dari daun yang kelihatan seperti daun kelapa, saya membayar mereka Rs20 untuk setiap satu bunga. Bukanlah kerana saya sangat berkenan pada bunga itu, tetapi atas rasa semata-mata kasihan terutama apabila melihat bagaimana rupa dan keadaan mereka.

Jika menaiki bukit hingga ke Pir Sohawa, biasanya kami akan turun kembali ke kaki bukit dengan menaiki kenderaan. Tetapi saya berharap bahawa di masa hadapan, saya akan mendaki naik dan selepas itu akan turun juga dengan melalui trek.

Saturday, September 26, 2009

Baju Kurung Pertama Embun




Dulu-dulu sewaktu saya masih di sekolah menengah, dan sewaktu ibu saya belum diserang penyakit strok, saya pernah belajar menjahit baju melayu daripada beliau. Seingat saya, mungkin saya pernah menjahit lebih daripada 7 helai baju melayu termasuk baju melayu kepunyaan saya sendiri. Saya tidak pernah belajar menjahit baju kurung, tetapi selalu melihat bagaimana ibu dan kakak-kakak saya memotong dan menjahit baju kurung. Menurut mereka membuat baju kurung sangat senang sekali dan jika seseorang mampu menjahit baju melayu tentu mereka juga akan tahu bagaimana menjahit baju kurung.

Syawal tahun ini saya buat pertama kalinya saya menyambutnya dengan anak perempuan saya yang sudah berusia lebih 5 bulan. Tiba-tiba Mawar mencadangkan supaya saya menjahitkan sepasang baju kurung untuk Embun dan saya sangat teruja untuk mencubanya. Saya beranikan diri memotong sepasang baju kurung untuk Embun daripada sehelai kain dupatta yang berwarna merah jambu. Sewaktu hendak memotong pesak saya terpaksa menelefon kakak saya di Terengganu bagi mendapatkan tunjuk ajarnya kerana saya kurang pasti bagaimana mereka memotongnya. Saya memotong bahagian baju, dan Mawar pula membuat kain susunnya.

Sebenarnya kami tidak punyai mesin jahit, lalu terpaksa menjahit dengan jahitan tangan. Pada mulanya saya tidak kisah badan saya yang lenguh kerana asyik menunduk bagi menyiapkan jahitan baju tersebut. Tetapi akhirnya saya tewas dengan kemalasan saya dan tidak berjaya menyiapkan baju tersebut untuk hari raya pertama. Mujur akhirnya saya mendapat tahu kawan Malaysia saya mempunyai sebuah mesin jahit di rumahnya dan dia sudi meminjamkan saya untuk menggunakan mesin itu. Di hari raya ketiga akhirnya Embun memakai sepasang baju kurung yang dijahit dengan penuh kasih sayang. Tetapi untuk raya tahun hadapan, Embun tidak perlu risau lagi kerana ayahnya sudah berkira-kira untuk membeli sebuah mesin jahit.

Wednesday, September 16, 2009

Salam Satu Malaysia

Jika seorang perdana menteri di Malaysia pernah menyebut perkataan "wawasan 2020", maka seluruh isi Malaysia juga akan ikut menyebutnya. Diciptakan slogan, lagu tema dan dipopularkan sehingga semua rakyat benar-benar faham akan maksud dan falsafah di sebalik perkataan itu. Selepas itu, perdana menteri yang lain memilih untuk menyebut perkataan "cemerlang, gemilang dan terbilang". Seperti biasa media-media sibuk mempopular segala retorik ini dengan pelbagai cara. Lagunya dicipta, dinyanyikan secara koir dan disiar berulang-ulang. Sekolah dan pejabat menghias dindingnya dengan kata-kata slogan ini. Kanak-kanak sekolah yang hendak memenangi pertandingan pidato juga harus menyebut perkataan ini dalam persembahannya.

Sekarang perdana menteri telah menyebut "Satu Malaysia", lalu terpaksalah seluruh Malaysia turut berzikir dengan slogan ini. Pembaca berita TV diarahkan untuk memulakan berita dengan menyampaikan salam satu Malaysia yang baru ditemui ini. Di TV, radio atau apa yang berkaitan dengan kerajaan slogan ini dipopularkan dengan pelbagai cara. Sebagai seorang warganegara yang setia dan patriotik penulis tidak ketinggalan menyokong usaha murni Perdana Menteri dalam membentuk perpaduan yang utuh di kalangan rakyat berbilang kaum yang telah merdeka selama 52 tahun ini, dan selama itu Barisan Nasional (dulu Perikatan) telah memerintah negara sehingga ia menjadi Malaysia yang kita nikmati sekarang. Teringat pula pertanyaan sinis menteri besar Kelantan, "jadi selama ini kita ada berapa Malaysia?"

Di sisi yang lain Pakatan Rakyat sedang giat berusaha dalam memenangi hati rakyat. PAS sedang menimbang dengan seriusnya kemasukan ahli bukan beragama Islam ke dalam partinya. Orang india dan cina banyak memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya yang lalu. Theresa Kok pula berbangga DAP telah pun membuka cawangan melayu pertamanya di Bandar Kinrara dan meraikan mereka dalam satu majlis berbuka puasa, walaupun melayu-melayu tersebut telah dituduh sebagai "sesat dalam politik" oleh orang UMNO. Parti Keadilan pula telah lama mendabik dada sebagai parti berbilang kaum yang paling popular dengan meletakkan asas keadilan sejagat dalam perjuangan mereka. Nampaknya parti politik di Malaysia telah menjadi lebih terbuka dan merentasi sempadan kaum serta agama. Dari satu segi mereka kelihatan lebih dekat dengan konsep Satu Malaysia yang sedang hebat dipromosikan sekarang.

Tetapi sekumpulan manusia di seksyen 23 Shah Alam telah menyebabkan Satu Malaysia menjadi sangat kecewa, mereka mengusung kepala lembu yang masih berdarah bagi membantah pembinaan sebuah kuil Hindu berhampiran dengan kawasan kediaman mereka. Caranya sangat agresif, melukakan hati penganut agama Hindu dan memalukan ummat Islam. Mereka inilah agaknya golongan yang tidak memahami slogan Satu Malaysia yang telah disebut berkali-kali oleh pemimpin. Mereka juga mengutuk Menteri Besar Selangor, ahli parlimen Shah Alam serta ADUN Batu Tiga dengan penuh emosi kebencian, tetapi tidak malu-malu mengaku menjadi ahli PAS, memakai kopiah serta bertempik "Take Beer!". Dan akhirnya saya lega membaca berita bahawa mereka telah didakwa di mahkamah atas perbuatan mereka yang tidak bertamadun itu.